Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara, Zizan Razak berharap percubaannya sebagai penyampai radio segmen pagi Era, Johara, mendapat reaksi positif daripada pendengar.

Zizan atau nama penuhnya Mohd Razizan Abdul Razak, 33, berkata beliau menerima tawaran menyertai stesen berkenaan selepas pihak pengurusan menjelaskan, semua penyampai radio segmen terbabit tetap dikekalkan kerana beliau enggan menutup pintu rezeki mana-mana pihak.

“Buat masa ini, eksperimen kami berempat menerima maklum balas positif daripada pendengar, namun saya belum berbincang dengan lebih lanjut mengenai tempoh kontrak. Buat sementara waktu ini, kita lihat dulu bagaimana penerimaan orang ramai terhadap percubaan ini.

“Saya menerima tawaran ini pun kerana menganggap ia sebagai pertaruhan untuk mencuba cabang seni yang berbeza. Tiada sebarang penyingkiran yang akan dibuat kerana ia adalah persetujuan untuk saya menjayakan kolaborasi ini.

“Alhamdulillah, buat masa ini saya semakin selesa dengan tanggungjawab sebagai penyampai radio. Penerimaan yang positif ini membakar semangat saya untuk terus memberikan yang lebih baik lagi,” katanya kepada BH Online.

Segmen yang popular dengan gelaran Johara itu sebelum ini dikendalikan oleh Johan, Hanif dan Ray.

Biarpun rutin hariannya kini berubah kerana perlu berada di konti awal pagi, Zizan menganggap ia sebagai perubahan sihat dari segi mental dan fizikal beliau.

ZIZAN di konti Era.

Zizan menjelaskan, jadual kerjanya juga perlu disusun dengan lebih rapi bagi memastikan setiap komitmen dijalankan dengan baik.

“Sebenarnya saya rasa lebih sihat dan cerdas apabila bangun pagi kerana banyak perkara boleh diselesaikan setelah habis kerja di konti.

“Selain mendidik diri untuk bangun pagi, saya juga perlu bijak membahagikan jadual harian,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Zizan berkata, beliau kini sedang menjalani sesi latihan sebagai persiapan untuk menjayakan penggambaran filem Polis Evo 2.

Judul pertama Polis Evo yang menemui penonton dua tahun lalu berjaya mencatat kutipan RM18 juta. Selain Zizan, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dilakonkan oleh Shaheizy Sam, Nora Danish, Wana Hanafi Su dan Amerul Affendi.

ZIZAN dan Johan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp