Categories : Sukan

 

ATLET renang berirama, Zylane Lee dan Gan Hua Wei. – Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Biarpun baru digandingkan bersama, atlet renang berirama, Zylane Lee dan Gan Hua Wei mengharapkan pingat emas menerusi acara duet dapat dijelmakan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL), Ogos ini.

Zylane, 25, bergandingan dengan Hua Wei, 18, susulan rakan gandingannya sebelum ini, Katrina Ann Abdul Hadi mengambil keputusan bersara sebaik berakhir temasya Sukan SEA 2015 di Singapura.

“Faktor perbezaan umur tidak terlalu memberi kesan kepada gandingan kami setakat ini. Hubungan kami semakin baik dari sehari ke sehari,” kata Zylane dalam sidang media program Kita Juara di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Mengulas lanjut, Zylane dari Cheras yang berjaya menghadiahkan emas pertama kontinjen negara di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu bersama Katrina, mengakui tidak mahu memberi tekanan pada dirinya.

Acara duet akan berlangsung awal iaitu pada 17 Ogos ini dengan tumpuan pingat sekali lagi terarah kepadanya.

“Saya tak mahu terlalu fokus pada tekanan pingat itu kerana buat masa ini, fokus adalah kepada persembahan.

“Saya mahu mengawal apa yang saya boleh iaitu kawal persembahan saya bagi menghasilkan keputusan yang baik,” katanya yang merasakan Singapura bakal memberi saingan sengit pada temasya itu nanti.

Bagi Hua Wei pula, dia agak resah apabila mula digandingkan dengan Zylane, namun perasaan itu dapat diatasi selepas lebih setahun bersama.

Zylane dan Hua Wei akan berangkat ke China bagi menjalani latihan selama sebulan di sana, bersama jurulatih, Long Yan selepas berakhir sambutan Tahun Baharu Cina, awal bulan depan.

Acara renang berirama menyaksikan lima acara dipertandingkan dengan skuad negara diletakkan sasaran sekurang-kurangnya menang tiga pingat emas dalam acara yang berlangsung pada 17 hingga 20 Ogos nanti.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp